anugerah cinta...
Allah SWT menciptakan lelaki dan perempuan sebagai keperluan fitrah. Lelaki memerlukan perempuan sebagai peneman dan perempuan juga memerlukan lelaki sebagai pelindung mereka. Bagi menjaga hubungan antara lelaki dan perempuan, maka Allah SWT mencipta syariat dimana dalam syariat ini ada hukum/peraturan yang berbeza antara lelaki dan perempuan dan juga yang tidak berbeza. Dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing, berlaku pergaulan antara lelaki dan perempuan yang kadang-kadang tidak dapat dielakkan, terutama pada zaman dimana agama tidak dipedulikan.
Kita sering tertanya apakah itu muhrim dan mahram. Perbezaan muhrim dengan mahram ialah muhrim bermaksud orang yang sedang melakukan ihram umrah atau haji. Muhrim dilarang melakukan perkara-perkara yang dilarang sepanjang melakukan ibadat haji atau umrah sebagaimana yang termaktub dalam kitab feqah. Mahram pula bermaksud orang yang haram berkahwin dengan kita seperti kahwin dengan adik beradik kita, mak mertua dan lain-lain.
Antara batas pergaulan yang digariskan dalam Islam ialah :
1. Menahan pandangan kedua belah pihak iaitu tidak boleh melihat aurat dengan sengaja, tidak boleh memandang dengan syahwat dan tidak lama memandang tanpa ada keperluan.
Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram, dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman, supaya menyekat pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka… (an-Nur: 30-31)
2. Perempuan haruslah memakai pakaian yang sopan dengan menutup seluruh tubuh badan kecuali pada muka dan tapak tangan. Jangan pakai pakaian yang terlalu nipis, jarang dan ketat sehingga nampak bentuk tubuh badannya.
Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya.. (an-Nur: 31)
Diriwayatkan oleh beberapa sahabat bahawa perhiasan yang harus diperlihatkan wanita dalam urusan hariannya ialah muka dan dua tapak tangannya.
Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaian-pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik), maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (al-Ahzab : 59)
Satu fakta yang menarik : tinjauan yang dilakukan keatas remaja lelaki mendapati bahawa majoriti daripada mereka lebih suka pada perempuan yang solehah untuk dijadikan bakal isteri
3. Mematuhi adab-adab wanita ketika berhadapan dengan lelaki.
- Dari segi pertuturan : tidak boleh menggunakan perkataan yang merayu-rayu (manja) sehingga membangkitkan rangsangan pada yang mendengarnya.
Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu, janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan orang asing), kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan yang buruk kepada kamu) dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). (al-Ahzab: 32)
- Daripada segi perbuatan : tidak menarik perhatian umum.
Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: …dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah SWT, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (an-Nur: 31)
- Dari segi pergerakan, jangan berjalan berlenggang-lenggok sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis yang bermaksud (iaitu) wanita-wanita yang menyimpang dari ketaatan dan menjadikan hati laki-laki cenderung kepada kerosakan (kemaksiatan). (riwayat Ahmad dan Muslim)
4. Dilarang memakai bau-bauan yang harum secara lebih-lebih dan memakai warna-warna yang boleh menarik perhatian selain daripada suaminya
5. Jangan berdua-duaan di antara lelaki dan perempuan tanpa disertai mahram.
Sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud : Tidaklah boleh seorang lelaki berkhalwat (bersunyi-sunyi dan bersendiri) dengan seorang wanita, kecuali bila bersama lelaki (yang merupakan) mahramnya. (riwayat Bukhari)
No comments:
Post a Comment